Pelancongan Daerah Baling

Nikmati keindahan Alam Semulajadi dengan tempat-tempat menarik di Daerah Baling

"Semoga Anda Bahagia Berada Disini"

Terowong Komunis & Pacuan 4 Roda

Terowong Komunis Weng merupakan satu-satunya terowong yang dibina di Malaysia.
Menjanjikan Laluan Pacuan 4 roda yang mencabar dan menarik.

Terowong ini terletak di daerah Baling, Kedah iaitu sempadan antara daerah Betong di Thailand. Terowong ini menyamai terowong yang dibina di daerah Betong Thailand iaitu Piyamit Tunnel atau dalam bahasa Melayunya Terowong Piyamit kerana jaringan terowong yang dibina oleh komunis.

Menurut sumber terowong ini merupakan terowong yang paling aktif digunakan sekitar tahun 1948 hingga tahun 1968. Laluannya yang begitu strategik membuatkan komunis tertarik untuk menjadikan terowong ini sebagai pengkalan kubu dan tempat perlindungan mereka daripada serangan semasa era komunis dahulu.

Terowong ini merupakan bilik gerakan komunis yang terbesar semasa era komunis dahulu. Laluan terowong ini adalah sekitar dua kilometer untuk sampai ke sempadan Thailand. Penemuan-penemuan seperti beberapa bangkai pesawat helikopter dan kapal terbang yang terdapat di dalam kawasan sekitar terowong tersebut menguatkan lagi bukti-bukti sejarah terowong tersebut.

Galeri Putra-Rundingan Baling 1955

Rundingan Damai Baling merupakan perundingan antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Rundingan ini diadakan di Baling English School (sekarang Sekolah Kebangsaan Tunku Putra) di Baling, Kedah Darul Aman, Malaysia pada 28 dan 29 Disember 1955. Wakil parti perikatan terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall sementara wakil PKM terdiri daripada Chin Peng, Chien Tien dan Rashid Maidin.

Hutan Lipur Lata Bayu

Tenang dan Mendamaikan Sambil Menikmati Udara Segar.

Hutan Lipur Lata Bayu di Baling, Kedah adalah antara destinasi pelancongan dan rekreasi bersumberkan alam semula jadi di negara ini.

Antara keistimewaan di hutan lipur ini yang turut dikenali Taman Eko Rimba Lata Bayu adalah kolam mandi luas yang terbentuk secara semula jadi dan air terjunnya yang bertingkat.

Keunikan bentuk dan struktur semula jadi air terjun itu menjadikan ia sebagai tempat sesuai untuk melakukan aksi meluncur air kerana permukaan batunya yang licin.

Bagi menjadikan lebih menarik, pengurusan Hutan Lipur Lata Bayu turut menyediakan taman tema air dan tempat khas untuk mereka yang mahu melakukan aksi menggelungsur di atas batu licin di air terjun berhampiran.

Air Terjun Lata Bayu dikelilingi hutan tropika, sekali gus menyajikan pesona kehijauan yang begitu memukau. Bagi mereka yang meminati aktiviti merentas hutan atau trekking, disediakan denai yang dilengkapi tangga dan beberapa gazebo bagi pengunjung menuju ke puncak Bukit Tok Bidan.

Hutan Lipur Lata Bukit Hijau

Tenang dan Mendamaikan Sambil Menikmati Udara Segar.

Lata Bukit Hijau terletak di Hutan Simpan Gunung Inas, 42 km dari Kulim dan 45 km dari Baling, Kedah. Lata ini telah diklasifikasikan sebagai sebagai hutan penyelidikan dan pendidikan.

Lata Bukit Hijau ini mempunyai keunikan air terjun 5 tingkat yang amat mempersonakan pengunjung. Selain daripada itu pengunjung-pengunjung berpeluang melalui denai hutan sejauh 3 km melalui hutan dara menuju ke Gunung Inas yang tingginya 1454 meter. Denai-denai hutan ini juga membawa ke Bukit Hijau (8 km), 15 km ke Gunung Bintang Utara (bersempadan Negeri Perak) atau ke Bukit Baubak (15 km).

Kemudahan asas disediakan untuk mandi-manda, berkelah, berkhemah, trekking dan jogging. Kemudahan seperti chalet, gerai makan serta surau juga disediakan. Di sini pengunjung berpeluang bersiar-siar, mendaki gunung, melihat hidupan liar, dan arboretum untuk kegunaan pengunjung.

Terdapat pelbagai spesies flora dan fauna jenis hutan Dipterokarp Tanah Pamah seperti meranti, seraya, meranti tembaga dan meranti melantai. Di antara haiwan yang terdapat di sini ialah gajah, harimau, tapir, kijang, lotong kekabu, tupai, dan pelbagai jenis burung liar.