GUNUNG BALING

Gunung Baling sememangnya terkenal bukan sahaja di daerah ini, tetapi seluruh Malaysia. Gunung setinggi kira-kira 450 meter ini sering menjadi tumpuan mereka yang gemarkan aktiviti lasak antaranya pendakian mahupun perkhemahan. Air sungai yang mengalir di bawah kaki gunung dan pemandangan indah flora dan fauna di sekelilingnya pasti memberikan kedamaian kepada sesiapa yang menjejakkan kaki ke daerah ini. Mengikut sejarah, kawasan pergunungan ini sering menjadi tumpuan penduduk tempatan bagi mendapatkan hasil baja tahi kelawar dan ia masih diteruskan sehingga kini walaupun agak berisiko. Gunung yang wujud sejak ratusan ribu tahun ini turut membentuk bongkah kristal yang pastinya memukau pandangan masyarakat sehingga ada yang sanggup mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk mendapatkannya.